AKU HANYA INSAN BIASA

Monday, December 27, 2010

Tersentak Lalu Bersegeralah... ( Muhasabah )

Bersegeralah menuju keredhaanNya


Maha Kasih dan Cinta Nya Allah SWT, ia akan memberikan kita pelbagai pengajaran dan didikan melalui bermacam-macam peristiwa kepada kita.

Pernah saya menyebut kepada para pelajar saya ketika sesi perkongsian di sebuah sekolah :

“ Selalu Allah SWT akan memberikan kepada kita satu peristiwa di dalam hidup ini untuk diberikan satu turning point atau pun titik tolak untuk kita lakukan perubahan.”

Dalam pengalaman saya, banyak peristiwa-peristiwa tertentu telah menjadikan saya tersentak, tersedar dan bergerak untuk sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan. Salah satunya ialah pengalaman yang real berlaku ketika saya darjah 6.

Dengan Izin Allah SWT, abah saya jatuh sakit dengan teruk sekali. Abah saya disyaki terkena kesan sampingan bahan kimia semasa di makmalnya. Peristiwa itu menggamit perasaan kecik di sanubari saya dan saya sangat tersentuh. Melihat semua penderitaan dan kesusahan itu, saya bertekad untuk melakukan perubahan pada diri.

Satu target saya letak pada masa itu ialah untuk berubah. Saya mulai rajin belajar dan bertekad untuk meraih keputusan UPSR dengan keputusan yang cemerlang. Alhamdulillah, berkat usaha dan kesungguhan yang tidak kenal jemu, Allah berikan keputusan yang cemerlang kepada saya.


Tersedar untuk segera beramal


Satu kisah yang menarik tentang seorang Salaful Soleh yang terkenal dengan kewarakan, keilmuan dan kesolehannya. Beliau yang saya maksudkan ialah Fudhail Bin Iyadh. Semasa hayat mudanya beliau terkenal sebagai seorang pemuda yang sangat buruk akhlaknya.

Siang hari dipenuhi dengan perkara-perkara yang melalaikan dan tidak mendatangkan faedah. Di malam hari pula, sentiasa diisi dengan hiburan, keseronokan, minum arak dan aktiviti judi. Malah, kesemuannya yang menghiasi dirinya ialah sesuatu yang tidak memberi erti kepada kehormatan dirinya.

Bahkan, dunia malam selalu mengheretnya pada amalan-amalan yang gelap seperti pekatnya malam itu sendiri. Kebiasaan inilah yang selalu membawa beliau kepada perbuatan melanggar peraturan dan syariat Islam.




Satu Malam yang hening


Pada suatu malam, tatkala beliau sedang asyik membawa dirinya dalam alam kemaksiatan yang penuh kegelapan dan kehitaman, telingannya terdengar suatu suara merdu mendayu sedang mendendangkan sebuah lagu.

Itu suara perempuan, Getus hatinya. Tentu, cantik si empunya suara.

Terbayanglah olehnya wajah cantik yang merdu suaranya itu bermain-main di benak fikirannya.

Dengan pantas beliau, memanjat satu tembok untuk mencari sumber suara dan pemilik suara yang sangat merdu itu. Beliau ingin menikmati keindahan suara dan sekaligus menatapi kecantikan wajah penyanyinya.

Sampailah ia pada puncak ketinggian dinding, maka beliau boleh mendengar suara itu dengan jelas tanpa halangan. Akan tetapi, apabila diamati suara itu bukanlah lagu mahupun syiar yang indah-indah lagi puitis tetapi ianya merupakan lantunan ayat-ayat Al-Quran yang penuh khusyu’ dibaca oleh seorang gadis. Begitu jelas ayat-ayat itu menembus ke telingan Fudhail Bin Iyadh.

Ayuh kita semak makna bacaan tersebut :

“ Belumkah datang masanya bagi orang-orang yang beriman, bahawa akan khusu’ hati mereka kerana mengingati Allah dan kebenaran yang diturunkan..” Surah Al-Hadid ayat ke 16.

Layu sudah keghairah nafsu.

Jiwanya tertunduk lemah.

Matanya terpejam dengan penuh keinsafan

Dan hancur luluh perasaannya.

Suatu perasaan yang luar biasa hadir menyapa sanubari kecilnya. Aneh dan luarbiasa.

“ Belumkah datang masanya.. belumkah datang masanya..”

Ayat itu seperti seribu mata pisau yang mengiris-iris perasaan Fudhail.

Ia turun dari dinding tembok, dan bersamanya juga ketika itu turunnya hembusan hidayah Allah SWT daripada langit memasuki hatinya. MasyaAllah.

Bertitik tolak daripada itu, amalannya berubah secara keseluruhnya. Segala kekotoran segera dibasuh dengan amalan kebaikan hingga hatinya menjadi bersih bercahaya seperti bulan purnama yang menerangi alam raya. Begitulah kisah titik perubahan Fudhail Bin Iyadh.

Kini, nama begitu tersohor di kalangan kita sebagai seorang alim ulama yang warak, soleh dan sentiasa bertaubat. Para muslimin akan sentiasa menjadikan kata-kata dan kalam nasihatnya yang menyentuh hati sebagai peringatan diri dan jiwa. Inilah suatu contoh dan qudwah amaliyah buat kita semua.

Koreksi diri

Peristiwa sebegini akan berlaku kepada sesiapa sahaja.

Jika kita hajatkan hidayah dan petunjuk Allah SWT, mohonlah kepada Nya.

Pohon hidayah dan berdoakan juga agar Allah SWT memelihara hidayah yang telah dikurniakan kepada kita.

Bersegeralah menuju keredhaan Rabb Mu.

No comments:

Post a Comment