Nabi s.a.w bersabda: "Tuhan akan himpunkan semua manusia pada hari kiamat di atas satu bumi yang putih kemerah-merahan seperti sebiji roti gandum putih yang baharu dibakar, bumi yang suci bersih, tidak ada padanya gunung-ganang atau bukit bukau dan tidak pula ada padanya sebarang tanda atau kesan yang menunjukkan bahawa bumi itu pernah diduduki atau dimiliki orang". Sahl bin Sa'id As-Sa'idiy r.a
Saturday, January 22, 2011
Rehat & Rawat ( Muhasabah )
Kehidupan kita umpama arus deras yang tidak berpenghujung. Kita sentiasa terangsang untuk bergerak dan bertindak. Umpama manusia yang dihanyutkan, kita merasakan tindakan segera dan spontan amat perlu untuk kelangsungan hidup kita. Suasana begini kadang-kadang menjadikan kita lupa diri dan hilang arah tuju.
Masa itu umpama pedang, jika kita tidak memotongnya maka kita akan dipotongnya; inilah sebahagian dari gambaran manusia berkenaan masa. Tetapi jangan kita lupa bahawa masa itu juga adalah kehidupan seperti yang digambarkan oleh Al Imam Hassan Al Banna. Setiap masa yang kita sia-siakan itu adalah sebahagian dari kehidupan kita yang akan dipersoalkan di Akhirat nanti. Setiap detik yang kita abaikan adalah sebahagian dari umur kita yang akan menentukan nasib kita dihujung usia kita. Kita tidak semestinya sibuk sebab melihat orang lain sibuk dan kitapun tak perlu tergesa-gesa kerana melihat orang lain semuanya tergesa-gesa. Bahkan Islam menggambarkan bahawa ketergesaan itu adalah dari syaitan yang sentiasa berusaha agar kita lalai dan lupa diri.
Kita perlu melihat kehidupan dari kacamata Iman. Kita perlu memahaminya dari sumber-sumber samawi (panduan dari Allah). Jika Allahlah yang menganugerahkan kehidupan kepada kita maka Dialah yang berhak memberi tafsiran sebenar tentang kehidupan itu; bukan masyarakat, bukan juga persekitaran yang sentiasa mengaitkan kehidupan kita dengan kesibukan.
Rasulullah SAW telah diutuskan oleh Allah SWT supaya mengajak manusia keluar sebentar dari kesibukan dunia agar mereka dapat mengenal diri dan seterusnya mengenal Pencipta mereka. Sebahagian ayat-ayat al Quran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW adalah ayat-ayat Manzurah (ayat-ayat yang menyuruh kita melihat, berfikir, mentafsir dan sebagainya). Dalam surah Al Ghasyiyyah Allah menyuruh kita melihat unta, dalam surah An Naba' Allah menyuruh kita melihat pada bumi yang dihamparkan, langitnya, kejadian siang dan malamnya dan bermacam-macam lagi.
Solat yang menjadi tunggak utama seorang mukmin juga merupakan perhentian atau R&R untuk manusia berehat dan merawat jiwanya. Malangnya kerana kesibukan akhirnya solat itu sendiri menjadi ibadah rutin yang kehilangan maknanya. Sedangkan solat itu umpama sebuah Madrasah Imaniyyah yang mendidik kita agar kita kenal diri kita dan meletakkan diri kita sesuai dengan kehendak Allah SWT.
Seharusnya kita ada 5 R&R bagi perjalanan jiwa kita setiap hari. Ya, perjalanan jiwa. kalau perjalanan dari Johor ke Perlis pun ada R&Rnya maka apatah lagi perjalanan kejiwaan kita yang sebenarnya lebih panjang dan memberi kesan besar kepada kehidupan kita. Kalau dalam perjalanan fizikal kita mungkin tersesat tetapi dalam perjalanan jiwa kita, kita lebih cenderung untuk tersesat. Bahkan sudah begitu ramai yang tersesat dan tersungkur ke lembah kehidupan yang kelam dari hidayah dan redha Allah SWT.
Sekiranya kita benar-benar menghayati solah dan menjadikannya sebagai nadi kehidupan kita maka jiwa kita akan sentiasa kuat dan teguh di atas kebenaran.
Solat yang baik bermula dengan wudhu' yang sempurna, bahkan khusyuk solatpun bermula dengan wudhu' yang khusyuk. Apabila kita berkumur kita bermunajat dan berdoa agar diampunkan dosa-dosa mulut kita yang seringkali menuturkan kalimah-kalimah yang mengotorkan hati kita. Apabila kita membasuh muka kita maka kita memohon ampun bagi dosa-dosa mata kita yang serigkali memandang perkara-perkara yang menyebabkan jiwa kita kelam dan kotor. Begitu juga ketika kita membasuh tangan, kepala telinga dan kaki kita, dengan penuh kerendahan hati kita memohon keampunan Allah SWT agar dibersihkan hati-hati kita dari dosa-dosa yang menjadikan hati kita keras dan hilang kepekaan.
Berkata Imam Al Ghazali...
Apabila kita mengangkat takbiratul ihram maka kita melepaskan diri kita dari segala ikatan duniawi. Allahlah yang maha besar, tidak ada lain selain Allah yang kita ingatkan dan bayangkan. Kereta mewah, rumah besar, kesibukan kerja atau belajar...kita lupakan segalanya, kita kini sedang mengadap Allah Al Khaliq. Ketika kita berdiri (Qiam)bayangkan kita di Padang Mahsyar; kita dengan dosa-dosa kita yang banyak dan hati yang kotor dan keras. Ketika itulah kita membaca doa iftitah sebagai pengulangan semula akur janji kita kepada Allah SWT. Kita berikrar 'Sesungguhnya solatku, amalanku, hidupku dan matiku untuk Rabb sekelian alam." Lalu kita membaca Al Fatihah dengan penuh Khusyuk hinggalah sampai di ayat Maalikiyaumiddin (Allah yang menguasai Hari Qiamat) lalu Imam Al Ghazali menyarankan supaya kita berhenti seketika; "Bayangkan kita berada di mahsyar yang sebenanrnya dan amalan kita sedang ditimbang, adakah kita yakin bahawa kita akan terselamat dari azab Allah SWT?"
Ketika kita rukuk lalu kita tunduk dengan penuh kerendahan hati; malunya kita dengan kelalaian kita, begitu banyak nikmat Allah kepada kita tetapi banyak lagi dosa-dosa kita kepadanya. Ketika sujud kita benar-benar rasa hampir dan khusyuk kepada Allah SWT, dari tanah kita dijadikan dan kini kita tersungkur ke bumi yang merupakan asal kejadian kita. Ketika duduk antara dua sujud pula, kata Imam Al Ghazali, kita merasa gemar dan gembira mengadap Allah. Sambil lidah kita bertasbih memujinya kita terasa asyik mengingatiNya. Ketika duduk untuk Tasyahud akhir maka kita duduk dengan penuh rasa rindu kerana sebentar lagi kita akan ucapkan salam kepada Allah SWT, walaupun Allah sentiasa ada namun kita sering saja terleka dan lalai dalam mengingatiNya.
kita benar-benar sedar diri dan teguh jiwa untuk terus melangkah di atas jalan yang benar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment