AKU HANYA INSAN BIASA

Wednesday, January 26, 2011

Beramal Dgn Hadith Dhoif

Hukum Beramal Dengan Hadith Dhoief
 
Ada juga yang membidahkan amal ibadat yang berdalilkan Hadis dha’if...

Pendapat yang macam begini adalah keliru kalau tidak akan dikatakan salah besar.

Hadith yang dha’if bukanlah Hadits yang maudu’ ( hadits dibuat buat ), tetapi hanya Hadits yang lemah sanadnya, dan bukan Hadits yang tidak benar, bukan Hadits bohong, kerana asalnya dari Nabi juga.

Hadits yang dikatakan dha’if atau lemah ini ialah Hadits yang derajatnya kurang sedikit dari Hadits Shahih atau Hadits Hasan.
Hal ini dapat dicontohkan umpamanya kepada sebuah Hadits dari Nabi, kemudian turun kepada Mansur, turun lagi kepada Zeid, turun lagi kepada Khalid dan akhirnya turun kepada Ibnu Majah atau Abu Daud.

Ibnu Majah atau Abu daud membukukan Hadits itu dalam kitabnya.
Kalau orang yang bertiga tersebut, yaitu Mansur, Zeid dan Khalid terdiri dari orang baik-baik, dengan arti baik perangainya, saleh orangnya, tidak pelupa hafalannya, maka haditsnya itu dinamai hadits shahih.

Tetapi kalau ketiganya atau salah seorang dari padanya terkenal dengan akhlaknya yang kurang baik, umpamanya pernah makan di jalanan, pernah buang air kecil berdiri, pernah suka lupa akan hafalannya, maka haditsnya dinamai Hadits dha’if (lemah).

Pada hakikatnya Hadits yang semacam ini adalah dari Nabi juga, tetapi “sanadnya” kurang baik. Bukan Haditsnya yang kurang baik.
Ada lagi yang menyebabkan Hadits itu menjadi dha’if, ialah hilang salah seorang daripada rawinya.

Umpamanya seorang Thabi’in yang tidak berjumpa dengan Nabi mengatakan : Berkata Rasulullah, pada hal ia tidak berjumpa dengan Nabi.
Hadits ini dinamai Hadits Mursal, yaitu Hadist yang dilompatkan ke atas tanpa melalui jalan yang wajar. Hadits ini ialah dha’if juga.
Dan banyak lagi yang menyebabkan dan membikin sesuatu Hadits menjadi dha’if atau lemah.

Tentang memakai Hadits dha’if untuk dijadikan dalil, terdapat perbedaan pendapat di antara Imam-imam mujtahid, yaitu :


1. Dalam madzhab syafi’I Hadits dha’if tidak dipakai untuk dalil bagi penegak hukum, tetapi dipakai untuk dalil bagi “ fadhailul a’mal”. Fadhailul A’mal maksudnya ialah amal ibadat yang sunat-sunat, yang tidak bersangkut dengan orang lain, seperti dzikir, doa, tasbih, wirid dan lain- lain.Hadits Mursal tidak dipakai juga bagi penegak hukum dalam madzhab Syafi’e kerana Hadits Mursal juga Hadits dha’if. Tetapi d**ecualikan mursalnya seorang Thabi’in bernama Said Ibnul Musayyab.

2. Dalam madzhab Hambali lebih longgar. Hadits dha’if bukan saja dipakai dalam Fadhailul A’mal, tetapi juga bagi penegak hukum, dengan syarat dha’ifnya itu tidak keterlaluan.

3. Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad memakai Hadits yang dha’if kerana Mursal, baik untuk Fadhailul A’mal mahupun bagi penegak hukum.

Nah, di sini nampak bahwa Imam-imam Mujtahid memakai Hadits-hadits dha’if untuk dalil kerana Hadits itu bukanlah Hadits yang dibuat-buat, tetapi hanya lemah saja sifatnya.
Kerana itu tidaklah tepat kalau amal-amal ibadat yang berdasarkan kepada Hadits dha’if dikatakan bid’ah, apalagi kalau dikatakan bid’ah dhalalah.

Dipetik dari buku 40 Masalah Agama Jilid ke 3 oleh K.H. SIRADJUDDIN ABBAS

Dosa-dosa & Facebook ( Renungan Bersama)

Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya. Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.


Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.

Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini.

3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkanfriend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.

Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.

5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semuafriend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-

i- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

ii- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

iii- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.

6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.

Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.

KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.Sekian
 

Saturday, January 22, 2011

Bila Kehidupan Berbicara.. ( Muhasabah )




Disaat kita terasing dalam dunia kita sendiri, disaat tidak ada siapa yang menemani kita melainkan kesunyian, keresahan dan kekecewaan. Disaat kita memandang kedepan segala-galanya kabur dan penuh tanda tanya, disaat kita menoleh kebelakang yang terlihat hanyalah dosa dan ketelanjuran.

Disaat jiwa kita benar-benar lemah dan merasakan kebahagiaan bukan lagi milik kita, bahkan kita merasai kehidupan itu sendiri hampir-hampir tidak ada lagi. Ketika inilah, ketika lilin harapan kita hampir padam dan dunia terasa kelam, kehidupan sebenarnya sedang berbicara kepada kita.

Kehidupan sedang berbicara kepada kita tentang kehambaan; tentang kekerdilan kita dan keMaha Berkuasaan Sang Pencipta agar kita sedar diri dan merasakan perlunya untuk kita tunduk dan patuh kepadaNya. Untuk kita bermunajat dan meletakkan pengharapan padaNya

Kehidupan sedang berbicara tentang keinsanan dan kelalaian; betapa mudah untuk kita terlanjur dengan dosa dan betapa perlu untuk kita insaf dan bertaubat.

Kehidupan sedang berbicara kepada kita tentang sabar dan pasrah, agar jiwa kita semakin terbina dan semakin kuat hingga kita akan lebih sanggup melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar dan banyak.

Kehidupan sedang berbicara kepada kita bahawa gagal dan berjaya, kecewa dan bahagia, jatuh dan bangun itu adalah warna-warna dirinya agar kita sedar dimana kita sedang berdiri dan kemana akan kita aturkan langkah kaki kita.

Rehat & Rawat ( Muhasabah )




Kehidupan kita umpama arus deras yang tidak berpenghujung. Kita sentiasa terangsang untuk bergerak dan bertindak. Umpama manusia yang dihanyutkan, kita merasakan tindakan segera dan spontan amat perlu untuk kelangsungan hidup kita. Suasana begini kadang-kadang menjadikan kita lupa diri dan hilang arah tuju.

Masa itu umpama pedang, jika kita tidak memotongnya maka kita akan dipotongnya; inilah sebahagian dari gambaran manusia berkenaan masa. Tetapi jangan kita lupa bahawa masa itu juga adalah kehidupan seperti yang digambarkan oleh Al Imam Hassan Al Banna. Setiap masa yang kita sia-siakan itu adalah sebahagian dari kehidupan kita yang akan dipersoalkan di Akhirat nanti. Setiap detik yang kita abaikan adalah sebahagian dari umur kita yang akan menentukan nasib kita dihujung usia kita. Kita tidak semestinya sibuk sebab melihat orang lain sibuk dan kitapun tak perlu tergesa-gesa kerana melihat orang lain semuanya tergesa-gesa. Bahkan Islam menggambarkan bahawa ketergesaan itu adalah dari syaitan yang sentiasa berusaha agar kita lalai dan lupa diri.




Kita perlu melihat kehidupan dari kacamata Iman. Kita perlu memahaminya dari sumber-sumber samawi (panduan dari Allah). Jika Allahlah yang menganugerahkan kehidupan kepada kita maka Dialah yang berhak memberi tafsiran sebenar tentang kehidupan itu; bukan masyarakat, bukan juga persekitaran yang sentiasa mengaitkan kehidupan kita dengan kesibukan.

Rasulullah SAW telah diutuskan oleh Allah SWT supaya mengajak manusia keluar sebentar dari kesibukan dunia agar mereka dapat mengenal diri dan seterusnya mengenal Pencipta mereka. Sebahagian ayat-ayat al Quran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW adalah ayat-ayat Manzurah (ayat-ayat yang menyuruh kita melihat, berfikir, mentafsir dan sebagainya). Dalam surah Al Ghasyiyyah Allah menyuruh kita melihat unta, dalam surah An Naba' Allah menyuruh kita melihat pada bumi yang dihamparkan, langitnya, kejadian siang dan malamnya dan bermacam-macam lagi.

Solat yang menjadi tunggak utama seorang mukmin juga merupakan perhentian atau R&R untuk manusia berehat dan merawat jiwanya. Malangnya kerana kesibukan akhirnya solat itu sendiri menjadi ibadah rutin yang kehilangan maknanya. Sedangkan solat itu umpama sebuah Madrasah Imaniyyah yang mendidik kita agar kita kenal diri kita dan meletakkan diri kita sesuai dengan kehendak Allah SWT. 

Seharusnya kita ada 5 R&R bagi perjalanan jiwa kita setiap hari. Ya, perjalanan jiwa. kalau perjalanan dari Johor ke Perlis pun ada R&Rnya maka apatah lagi perjalanan kejiwaan kita yang sebenarnya lebih panjang dan memberi kesan besar kepada kehidupan kita. Kalau dalam perjalanan fizikal kita mungkin tersesat tetapi dalam perjalanan jiwa kita, kita lebih cenderung untuk tersesat. Bahkan sudah begitu ramai yang tersesat dan tersungkur ke lembah kehidupan yang kelam dari hidayah dan redha Allah SWT.




Sekiranya kita benar-benar menghayati solah dan menjadikannya sebagai nadi kehidupan kita maka jiwa kita akan sentiasa kuat dan teguh di atas kebenaran.

Solat yang baik bermula dengan wudhu' yang sempurna, bahkan khusyuk solatpun bermula dengan wudhu' yang khusyuk. Apabila kita berkumur kita bermunajat dan berdoa agar diampunkan dosa-dosa mulut kita yang seringkali menuturkan kalimah-kalimah yang mengotorkan hati kita. Apabila kita membasuh muka kita maka kita memohon ampun bagi dosa-dosa mata kita yang serigkali memandang perkara-perkara yang menyebabkan jiwa kita kelam dan kotor. Begitu juga ketika kita membasuh tangan, kepala telinga dan kaki kita, dengan penuh kerendahan hati kita memohon keampunan Allah SWT agar dibersihkan hati-hati kita dari dosa-dosa yang menjadikan hati kita keras dan hilang kepekaan.

Berkata Imam Al Ghazali...

Apabila kita mengangkat takbiratul ihram maka kita melepaskan diri kita dari segala ikatan duniawi. Allahlah yang maha besar, tidak ada lain selain Allah yang kita ingatkan dan bayangkan. Kereta mewah, rumah besar, kesibukan kerja atau belajar...kita lupakan segalanya, kita kini sedang mengadap Allah Al Khaliq. Ketika kita berdiri (Qiam)bayangkan kita di Padang Mahsyar; kita dengan dosa-dosa kita yang banyak dan hati yang kotor dan keras. Ketika itulah kita membaca doa iftitah sebagai pengulangan semula akur janji kita kepada Allah SWT. Kita berikrar 'Sesungguhnya solatku, amalanku, hidupku dan matiku untuk Rabb sekelian alam." Lalu kita membaca Al Fatihah dengan penuh Khusyuk hinggalah sampai di ayat Maalikiyaumiddin (Allah yang menguasai Hari Qiamat) lalu Imam Al Ghazali menyarankan supaya kita berhenti seketika; "Bayangkan kita berada di mahsyar yang sebenanrnya dan amalan kita sedang ditimbang, adakah kita yakin bahawa kita akan terselamat dari azab Allah SWT?"   

Ketika kita rukuk lalu kita tunduk dengan penuh kerendahan hati; malunya kita dengan kelalaian kita, begitu banyak nikmat Allah kepada kita tetapi banyak lagi dosa-dosa kita kepadanya. Ketika sujud kita benar-benar rasa hampir dan khusyuk kepada Allah SWT, dari tanah kita dijadikan dan kini kita tersungkur ke bumi yang merupakan asal kejadian kita. Ketika duduk antara dua sujud pula, kata Imam Al Ghazali, kita merasa gemar dan gembira mengadap Allah. Sambil lidah kita bertasbih memujinya kita terasa asyik mengingatiNya. Ketika duduk untuk Tasyahud akhir maka kita duduk dengan penuh rasa rindu kerana sebentar lagi kita akan ucapkan salam kepada Allah SWT, walaupun Allah sentiasa ada namun kita sering saja terleka dan lalai dalam mengingatiNya.

kita benar-benar sedar diri dan teguh jiwa untuk terus melangkah di atas jalan yang benar.

Ingin Dihargai ( Muhasabah )

Memang tidak dinafikan, setiap insan ingin dihargai. Inilah fitrah manusia yang kadang-kadang menjadikan kita lupa diri lalu menjadikan pujian, sanjungan, tepukan dan penghargaan sebagai matlamat kehidupan. Kita merasa hebat dengan pujian dan sanjungan dan merasa kerdil dengan penghinaan. Kita tunduk kepada kekejian hanya kerana ingin diri dipuji dan dipandang hebat.

Ya, memang kita ingin dihargai kerana disebaliknya itu ialah kasih sayang, perhatian dan belas ehsan. Anak-anak ingin dihargai agar ibu ayahnya bertambah kasih kepadanya. Isteri ingin pengorbanannya dihargai agar kasih suami tidak tertumpah pada yang lain. Begitu juga suami, ingin dihargai agar kesetiaannya tidak diragui.

Saya tidak ingin mengatakan perasaan ingin dihargai ini suatu yang jelek dan berdosa kerana itulah fitrah insan yang juga ada pada diri saya sendiri. Namun ada sesuatu yang lain yang seharusnya kita cari. Sesuatu yang akan menghidupkan jiwa, membimbing hati dan mendidik nafsu. Sesuatu yang akan meringankan jiwa ketika mendaki kehidupan yang curam dan menekan, yang menghilang kerisauan ketika hati terasa tinggi dan terancam dengan jurang kemiskinan dan jiwa menjadi tenang dan penuh kesyukuran ketika kemewahan mewarnai kehidupan. 

Carilah keredhaan Allah, kerana bersamanya adalah ketinggian dan kemuliaan hakiki. Manusia tidak lagi hanya memuji kita tetapi mencotohi kita serta menjadikan diri kita sebagai pembimbing kehidupan. Jiwa kita tidak lagi takutkan kemiskinan atau terlarut dengan kekayaan. Kita tidak lagi terkeliru dipersimpangan atau terkandas dalam pelayaran kehidupan. Kita merasa mulia ketika dihina manusia dan merasa diri ini kerdil ketika pujian dan sanjungan menghujani jiwa.

Saturday, January 1, 2011

Solat Luarbiasa Vs Biasa Bersolat ( Renungan Bersama )

Berapakali kita pernah cuba untuk benar-benar menghadirkan hati kita mengadap Allah SWT ketika solat sehinggakan kita merasakan manisnya pertemuan hati kita dengan Allah SWT. Tentunya solat itu benar-benar menginsafkan kita tentang hakikat kekerdilan diri kita berdepan dengan keagungan Allah SWT. Tentunya kita merasa terhina dan malu untuk melanggar larangan serta mengabaikan perintahNya. Sayangnya, kebanyakan solat kita (saya sendiri) berlaku secara rutin. Diri kita seolah-olah robot yang secara automatik akan menjalankan tugas seperti yang diprogramkan. Hati kita hanya mampu merasakan solat sebagai 'ibadah biasa' yang wajib dilaksanakan. 

Mungkin kita tidak seperti setengah orang yang bersolat tanpa baju atau solat dengan pakaian yang baik, harum tetapi express. Mungkin juga kita menyempurnakan solat itu dengan menjaga rukun-rukunnya, memperelokkan bacaannya bahkan kita begitu memahami nas-nas bagi setiap pergerakan kita.

Bukankah ketika Rasulullah SAW menerima bebanan dakwah yang begitu berat dan berdepan dengan tentangan yang begitu hebat, Rasulullah SAW menjadikan solat sebagai sumber kekuatan rohaninya. Bahkan sahabat-sahabatpun, yang diseksa dengan seksaan yang begitu hebat namun masih mampu mempertahankan iman mereka dan bagaimana dibina kekuatan diri yang begitu 'dahsyat'?. Jawapannya SOLAT.

Mungkin harus timbul pertanyaan pada diri kita adakah solat kita seperti solat mereka sehinggakan kita memperolehi kekuatan yang luar biasa seperti mereka? Atau mungkin kita boleh ringkaskan soalannya kepada begini: Adakah iman kita hebat seperti mereka?

Saya rasa jawapan anda semua hampir sama seperti saya. TERLALU JAUH BEZANYA bahkan kita selalu hanya mampu kagum dengan keperibadian mereka.

Mungkin juga, kita perlu tanyakan diri kita; Adakah cukup untuk jiwa kita terhenti pada KEKAGUMAN terhadap mereka? Adakah untuk KAGUM sebegitu sirah perjuangan mereka dipelihara dan dibaca?

Mungkin PERSOALAN ini mula berkembang terlalu luas. Mari kita kecilkan kembali dan balik kepada SOLAT kita. 

Bayangkan solat kita seperti yang disarankan oleh Imam Al Ghazali (bukan matan kitab; Saya sebutkan berdasarkan pemahaman dan penghayatan); Kita mulakan dengan wudhu' yang sempurna. Ketika membasuh muka, kita bermunajat memohon ampun dosa-dosa mulut dan mata kita. Sambil membayangkan betapa besarnya nikmat yang Allah berikan itu dan betapa banyaknya salah guna kita dalam mensyukuri nikmatNya itu. Betapa kita lupa bersyukur dan betapa kita kufur(engkar) padaNya. Begitu juga dengan anggota wudhu' yang lain, sambil kita membasuhnya kita bermuhasabah diri dan memohon keampunanNya.

Kita bangun untuk solat. Ketika kita takbiratul ihram; Kita lalu meninggalkan segala urusan dunia yang remeh temeh. Hati kita tertunduk malu dan sedar betapa kita sedang berdepan dengan Yang Maha Kuasa. Allah yang maha Melihat bahkan mengetahui 'bima fisshudur' (apa yang ada di dalam hati kita). 

Ketika kita Qiam, kita terasa seolah-olah berada di padang Mahsyar. Terbayang difikiran kita tentang herok pikuknya manusia, mataharinya sebatu diatas kepala dan manusia tenggelam dan kelemasan dalam peluh mereka masing-masing.


Kitapun membacakan al FATIHAH, betapa kita tersentuh kalimah-kalimah memuji Allah SWT, kita terasa semakin kerdil. Kita terhenti ketika menyebut 'Maliki yaumiddin', jiwa kita tidak lagi mampu bertahan, terbayangkan banyaknya dosa-dosa kita, terbayangkan kitab amalan yang akan terbang mencari tuannya, terbayang wajah-wajah yang Allah gambarkan di dalam al Quran; wajah-wajah putih dan wajah-wajah yang hitam (Ali Imran), wajah yang berseri-seri dan wajah yang bermuram durja (Al Qiyamah). Terbayang kita wajah-wajah yang tertunduk dan tidak mampu mendongakkan kepalanya (As Sajdah) dan wajah-wajah yang ketakutan dengan seribu penyesalan (Al Kahfi) LALU jiwa kita terhenti, lidah kita kaku. Kita mula mengukur dan menimbang amalan kita; ALANGKAH SEDIKIT. Lalu dengan penuh keinsafan kita mengucapkan Ya Allah; kepada Engkaulah kami sembah dan kepada Engkaulah kami pohon pertolongan.



Lalu kita tunduk ruku' dengan penuh kehinaan. Malunya kita pada keengkaran dan kelalaian kita. Malunya kita pada keangkuhan dan kesombongan kita.

Kita sujud dengan penuh khusyuk. Kita panjatkan doa, seolah-olah kita tidak mahu bangun.

Lalu kita duduk antara dua sujud dengan penuh kegembiraan; betapa Allah telah memilih kita untuk menjadi hambaNya. Betapa kita mensyukuri nikmat hidayahNya. Lalu kita bertasbih memuji Allah SWT.

Kita lalui saat-saat tahiyyat akhir dengan tersimpuh penuh kerinduan. Betapa selapas ini kita akan kembali lalai. Jiwa kita dipenuhi rasa rindu dan terasa berat untuk memberi SALAM PERPISAHAN. Terbayang kita kalau-kalau inilah saat terakhir kita.

Bayangkan jika inilah solat kita setiap hari dan setiap waktu. Iman yang bagaimana kita akan miliki? Perjuangan bagaimana yang akan kita tempuhi untuk mempertahankannya?

3 Ajakan ( Muhasabah )

      1. Marilah kita merasai hakikat kesemantaraan hidup ini. Dunia hanyalah persinggahan sementara, segala apa yang kita banggakan sekarang bakal kita tinggalkan untuk selama-lamanya. Segala kekayaan yang kita miliki, pangkat dan kuasa bahkan keluarga yang kita kasihi...semuanya akan kita tinggalkan.

    Sampai saatnya, tubuh kita akan dimandikan dan dikapankan. Kita akan disemadikan ditempat yang sunyi sepi. Ibu kita akan melangkah pulang dengan linangan airmatanya, ayah kita akan pulang dengan menungannya yang panjang. Begitu juga sanak saudara dan teman-teman akan melangkah pulang sambil seribu kenangan mereka bersama kita bermain difikiran mereka. kita akan bersendirian ditempat yang sunyi sepi. Tempat yang digambarkan oleh Rasulullah SAW sebagai taman daripada taman-taman syurga atau lubang daripada lubang apa neraka.

      Saat dimana kita akan terasa begitu kerdil dan tak berdaya. Saat dimana segala keangkuhan kita akan terlebur. Saat dimana tiada lagi kesombongan dan keangkuhan yang mampu bertahan dijiwa kita lalu meninggalkan kita bersama segala kelemahan dan keinsafan. Saat dimana kita benar-benar berhajat agar dikurniakan kita kehidupan biarlah satu hari sahaja, kita akan benar-benar mensyukurinya kalau peluang itu diberikan kepada kita.

        Sehari untuk kita bertaubat kepada Allah SWT, sehari untuk kita memohon maaf kepada ibu dan ayah kita yang sering kita lukakan hati dan perasaan mereka, sehari untuk kita memohon maaf dan halal kepada sesiapa sahaja yang pernah kita kenal dan pernah kita zalimi, sehari untuk kita pulangkan segala harta kotor yang kita kumpulkan dengan cara yang tidak halal. Ya hanya sehari sahaja, kita tidak akan meminta lebih dari itu. Dan saat itu kita pun yakin bahawa permintaan kita tidak akan dipenuhi.
      2. Marilah kita meyakini bahawa kita pastikan pulang kepada Allah SWT. Hari dimana kita akan berkumpul di Mahsyarnya, hari dimana segala amal kita akan ditimbang dengan neraca timbanganNya dan diukur dengan nilaiNya. Ya nilai Allah swt, bukan nilai masyarakat, bukan nilai kemajuan dan kemodenan bukan juga nilai kawan dan taulan yang kita jadikan nilai kita selama hidup kita di dunia.

       Kita penuhi segala tuntutan masyarakat hingga kita melupakan tuntutan Allah SWT, kita mengejar kemajuan dan kemodenan hingga kita meninggalkan segala ajaran RasulNya dan kita sanggup melakukan apa saja demi kawan dan taulan. Ya, nilai Allah swt bukan nilai-nilai lain. Saat itulah kita tidak mampu mendongak kepala kita untuk melihat kedepan. 

      "12. Dan, (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami Telah melihat dan mendengar, Maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin."13. Dan kalau kami menghendaki niscaya kami akan berikan kepada tiap- tiap jiwa petunjuk, akan tetapi Telah tetaplah perkataan dari padaKu: "Sesungguhnya akan Aku penuhi neraka Jahannam itu dengan jin dan manusia bersama-sama.".

       Ya, alangkah ngerinya sekiranya kita mampu membayangkan suasana hari itu, alangkah kerdilnya kita pada ketika itu , alangkah lemah dan tidak berdayanya kita sehingga kita tidak mampu lagi mendongak kepala kita lalu tunduk dengan penuh penyesalan dan ketakutan. Bahkan saat itulah kita amalan kita akan terbang mencari tuannya. Ada yang kitab amalannya singgah ke tangan kanannya maka mereka tersenyum bahagia, namun ada yang kitab amalannya jatuh ketangan kirinya...alangkah takut dan gementarnya mereka lalu meraka berkata "alangkah baiknya jika kematian itu sebagai penamat cerita!". Tidak! kematian itulah permulaanya...permulaan untuk kita pulang kepada Allah lalu menerima segala akibat kedurhakaan dan kelalaian kita selama ini.

       49. Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, Kitab apakah Ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang Telah mereka kerjakan ada (tertulis). dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun".
    Kita tidak akan menerima akibat dari dosa-dosa orang lain bahkan kita benar-benarkan diadili dan tidak sedikitpun dizalimi.
          3. Marilah kita melihat kehidupan yang sementara ini sebagai medan untuk mencari bekalan. Bekalan yang kita harapkan dapat menyelamatkan kita dari azab neraka yang tentunya kita tidak akan sanggup menanggungnya. Marilah kita mula menyusun langkah kita dengan taqwa, marilah kita menghiasi hari-hari baru kita dengan ketaatan, marilah kita hidupkan hati-hati kita dengan janji-janji dan ancaman-ancaman Allah dan marilah kita suburkan jiwa kita dengan iadah kepada Allah SWT. Marilah kita melepaskan ikatan hati kita dari graviti bumi yang penuh kerendahan lalu terbang tinggi mencari kemuliaan. Marilah kita bangun dari lena kita yang panjang dan keluar dari mimpi yang melambatkan pergerakan kaki kita. Marilah kita pendekkan angan-anagn kita terhadap dunia yang sementara ini lalu kita mengejar kenikmatan syurga yang kekal abadi....marilah kita mulakan hari ini dan saat ini.