SEBAGAI seorang Muslim, kita mengakui bahawa kewujudan kita di alam ini didahului oleh tiada kepada ada. Kita hadir ke dunia ini dalam keadaan yang serba lemah dan tidak mengerti apa-apa, melalui proses kelahiran dari perut seorang ibu yang dicampakkan oleh Allah SWT perasaan sayang dan belas kepada anak yang dilahirkan.
Berbeza dengan Allah SWT yang tidak ada permulaan dan pengakhiran pada kejadian-Nya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Awal dan Maha Akhir, Maha Kaya dan Maha Penyayang.
Kejadian diri kita yang memerlukan sepenuhnya kepada Pencipta, mengingatkan kepada keperluan wajib diri kita kepada kurniaan dan pertolongan Allah SWT pada setiap waktu. Kebergantungan kita kepada Allah adalah hakikat diri kita yang semestinya diakui penuh sedar dan insaf oleh semua yang bernama makhluk.
Sheikh Ibnu Atoillah r.a mengungkapkan dalam kalam hikmahnya:
“Keperluan kamu adalah hakikat semulajadi bagi kejadian dirimu, sedangkan kemunculan pelbagai sebab mengingatkan kamu kepada sesuatu yang tersembunyi tentang hakikat tersebut, dan keperluan yang semulajadi itu tidak dapat diangkat oleh perkara-perkara yang mendatang”.
Lumrah manusia sering lupa dan alpa terhadap keperluan dan hakikat dirinya apabila dia sentiasa berada dalam keadaan sihat dan dapat memiliki segala keinginannya. Jauh sekali untuk mengakui kesilapan dan kelemahannya.
Oleh itu, Allah dengan sifat kelembutan dan pengasih-Nya menarik hamba-hamba-Nya kepada-Nya dengan rantai ujian dan pelbagai sebab seperti kefakiran dan kesakitan untuk mengingatkan mereka tentang keperluan hakikat dirinya yang tersembunyi itu kepada-Nya.
Sejarah membuktikan, bahawa inilah antara sebab yang menjadikan Firaun lupa terhadap keperluan dan hakikat dirinya, lalu mengaku dirinya adalah Tuhan. Sepanjang 400 tahun usianya, Firaun tidak pernah mengalami sakit kepala atau demam dan tidak pernah ditimpa penyakit-penyakit yang lain.
Sekiranya Firaun diberikan sedikit cubaan atau sakit kepala dalam satu-satu masa, atau demam panas sehari, sudah tentu dia tidak akan mendakwa dirinya sebagai tuhan.
Segala hal yang mendatang, seperti nikmat kesihatan dan kekayaan tidak akan dapat mengangkat keperluan hakikat diri seseorang hamba. Maka harus bagi Allah menghapuskan nikmat-nikmat tersebut dan menggantikannya denganujian dan cubaan kepada hamba-Nya.
Keperluan-keperluan ini tidak boleh terpisah dari seseorang hamba sama ada semasa di dunia atau akhirat, walaupun setelah memasuki syurga kerana hamba itu sentiasa berhajat dan bergantung kepada Allah selama-lamanya.
Apabila hamba itu diperingatkan dengan hal tersebut, maka dia akan kembali berdiri di atas landasannya dan melaksanakan pengabdian kepada Tuhannya.
Allah mencaci kaum-kaum yang merayu kepada-Nya ketika didatangi sebab-sebab yang menjadikan mereka begitu berkehendak kepada-Nya, tetapi apabila sebab-sebab itu tiada maka hilanglah rayuannya, sebagaimana firman-Nya:
Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada ketika sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri. Dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon dihapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya. (Yunus: 12)
Allah juga menjelaskannya dalam firman-Nya yang lain:
Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami. Kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada kami, dia berkata (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat tersebut adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu). (al Zumar: 49)
Oleh kerana akal orang awam tidak sampai untuk memahami tentang hakikat kewujudan mereka, maka Allah mendatangkan kepada mereka sebab-sebab yang membangkitkan keperluan mereka kepada Allah untuk memperkenalkan kepada mereka tentang keperkasaan rububiah-Nya dan keagungan ketuhanan-Nya.
Justeru, hendaklah kita sentiasa mengetahui tentang hakikat dan keperluan diri kita kepada-Nya yang setiap masa dan ketika.
Ketahuilah, saat seseorang hamba dapat melihat dan merasakan keperluannya kepada Allah merupakan sebaik-baik waktu baginya. Ini kerana pada waktu itu, terlaksananya hak ubudiah dan kamu dapat merasakan keagungan Allah Yang Maha Hebat.
Ia juga merupakan waktu seseorang hamba menjadi sempurna kerana sekadar mana terlaksananya ubudiah seorang hamba pada zahirnya, maka sebesar itulah penyaksian rububiah pada batinnya.
Serendah mana kehinaan diri yang dirasakan oleh hamba tersebut pada zahirnya pada waktu itu, setinggi itulah kemuliaannya pada batinnya.
Lihatlah kepada semulia-mulia makhluk Allah para Nabi a.s. Dengan apakah Allah berbicara tentang mereka atau namakan mereka jika tidak dengan ubudiah?
Allah berfirman dalam surah al-Israk ayat 1:
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari.Dalam surah Sod ayat 45, Allah berfirman:
Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba kami Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi Ya’qub.Manakala dalam ayat yang lain Allah berfirman:
Dan ingatlah akan hamba Kami Nabi Daud, yang mempunyai kekuatan (dalam pegangan agamanya). (Sod: 17)Nabi SAW, ketika disuruh memilih sama ada menjadi nabi seumpama raja atau nabi seumpama hamba, maka Baginda SAW memilih untuk menjadi nabi seumpama hamba. Ini menunjukkan bahawa semulia-mulia sifat manusia ialah perhambaan.
Dari hadis Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya telah turun kepadaku malaikat dari langit yang tidak pernah turun kepada seorang nabi pun sebelumku atau selepasku. Dia ialah Israfil AS. Israfil AS berkata: “Aku adalah utusan Tuhanmu yang memerintahkan aku supaya memberitahumu, “Adakah kamu ingin menjadi nabi yang bersifat hamba atau nabi seperti raja?” Aku melihat Jibril AS, dia menunjukkan isyarat supaya aku merendah diri. Maka sekiranya aku berkata, “Aku ingin menjadi nabi seperti raja, nescaya akan berjalan gunung-ganang pergi bersamaku menjadi emas”. (riwayat al Tabrani)
Dalam kepapaan atau saat kita memerlukan kepada Allah, akan menambahkan lagi nikmat dan kurniaan Allah SWT kepada kita. Justeru, sekiranya kamu mahu dihamparkan ke atasmu kurniaan-kurniaan Allah, hendaklah kamu benar-benar menyempurnakan kefakiran dan keperluan kamu kepada-Nya.
Allah menyertakan pertolongan-Nya dan kemenangan kepada hamba-Nya ketika hamba tersebut benar-benar memerlukan-Nya, merasakan dirinya hina, lemah dan serba kekurangan.
Perang Badar
Kemenangan yang diraih dalam perang Badar dan kekalahan perang Hunain telah membuktikannya. Allah berfirman:
Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya, lalu Allah menjadikan kamu ramai. (al-A’raf: 86)Allah meletakkan kehinaan, kekecewaan, kekalahan dan tidak diberikan pertolongan ketika kamu merasa megah, merdeka dan kuat. Allah SWT telah berfirman:
Dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. (al Taubah: 25)Sebaik-baik waktu kamu juga ialah ketika kamu merasakan kehinaan diri kamu di hadapan-Nya kerana ia sebab kamu mendapat kemuliaan dan pertolongan daripada-Nya.
Setiap sesuatu itu tersembunyi dalam lawannya seperti kemuliaan tersembunyi dalam kehinaan, kekayaan tersembunyi dalam kefakiran, kekuatan tersembunyi dalam kedaifan dan sebagainya.
Ingatlah sabda Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas r.a:
“Ketahuilah, bahawa berkemenangan itu beserta dengan kesabaran, pelepasan itu beserta kesulitan dan di samping kesusahan itu ada kesenangan”.
Petikan Tazkirah : PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFANEGERI SEMBILAN
No comments:
Post a Comment