AKU HANYA INSAN BIASA

Thursday, February 3, 2011

Nilai Hidup Menurut Islam...




Mujahid Fathi Yakan di dalam kitabnya, Ma za Ya’ ni Intimai Li al Islam  telah menyatakan bahawa di dunia ini terdapat tiga kategori manusia:

Kategori  Pertama

Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka dinamakan sebagai golongan ad Dahriyyun. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di dalam al Quran :-

“Dan tentu mereka akan mengatakan (pula): ‘ Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia saja, dan kita sekali-kali  tidak akan dibangkitkan”
( Surah Al An’aam: 29)

Kategori Kedua

Golongan yang telah hilang pedoman, terumbang ambing, aqidah bersimpang siur, mereka melakukan kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah s.w.t dalam kehidupan duniawi. Namun mereka masih menyangka mereka berbuat kebaikan. Meskipun mereka mempunyai kepercayaan kepada Allah s.w.t dan Hari Qiyamah tetapi aqidah mereka hanyalah gambaran luar semata-mata yang terputus hubungan dengan aktiviti atau amalan hidup mereka. Mereka itu pada hakikatnya berfahaman kebendaan (materialis) walaupun kadangkala mereka melakukan kerja-kerja yang berbentuk kerohanian.

Kategori Ketiga

Golongan yang menganggap bahawa dunia ini sebgai ladang tanaman untuk mendapat hasilnya di akhirat kelak. Golongan ini benar-benar beriman dengan Allah s.w.t. Mereka mengetahui hakikat hidup serta nilai dunia berbanding dengan Hari Akhirat. Allah s.w.t membandingkan mereka seperti dalam FirmanNya:

“Dan  tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya ?"  (Surah Al An’am : 32)




Mereka yang benar-benar beriman menganggap dunia sebagai medan perlumbaan untuk mentaati Allah s.w.t dan mencari keredhaanNya. Seluruh bidang hidupnya (ilmu, perniagaan, kekayaan, rumah, masa dan fikiran) diarahkan kepada Jalan Allah s.w.t..

Bagi  menjamin supaya urusan hidup ini terarah menurut lunas-lunas Islam maka sewajarnya difahami dan dihayati beberapa kewajipan iaitu:-

a. Mengetahui matlamat hidup. Firman Allah s.w.t:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan  supaya mereka menyembahKu”
 ( Surah Adz Dzaariat : 56)
 b. Memahami nilai dunia berbanding dengan nilai akhirat. Firman Allah s.w.t :-

“Hai orang-orang yang beriman , apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: berangkatlah (untuk berperang pada jalan Allah) kamu merasa berat dan ingin tinggal ditempatmu?. Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit”
(Surah At Taubah : 38)
c. Mengetahui hakikat kematian dan mengambil pengajaran daripada kematian yang pasti berlaku kepada setiap manusia. Firman Allah s.w.t:-

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan  sungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan”
( Surah Ali ‘Imran : 185)
d. Mengetahui benar-benar akan hakikat Din Al Islam dengan cara mempelajari dan mendalami dasar-dasar dan hukum-hakamnya.

e. Mengetahui hakikat jahiliyyah, iaitu dengan meneliti ciri-ciri pemikiran, aliran dan perancangannya. Disamping itu mendedahkan akibat serta keburukan Jahiliyah. Dengan memahaminya barulah orang-orang beriman tidak terperangkap ke dalam jaring-jaringnya. Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum, ia terselamat dari tipu daya mereka”




Neraca Dalam Kehidupan

Dalam pegangan hidup manusia, hendaklah diambil neraca dan nilai syara’ dan tidak seharusnya diambil nilai-nilai yang lain. Kebaikan dan keburukan hendaklah diperhatikan menurut pandangan syara’ berdasarkan kepada kaedah:

“Yang Baik Ialah Apa Yang Dipandang Baik Oleh Syara’ dan Yang Buruk Ialah Apa Yang Dipandang Buruk Oleh Syara”

Terdapat banyak perintah Allah yang memerintahkan kita agar mengambil nilai syara’ dan melarang dari mengambil nilai yang lain daripada nilai syara’. Antaranya Firman Allah s.w.t:

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang  yang tidak  mengetahui”
(Surah Al Jaatsiyah: 18)
“Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya. Amat sedikitlah kamu mengambil pengajaran (daripadanya)”
(Surah Al A’raaf : 3)
Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepaamu dan kepda apa yang diturunkan sebelum kamu?. Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintahkan mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang  sejauh-jauhnya” 
(Surah An Nisaa’ : 60)

Terdapat keterangan yang memberi peringatan bahawa memilik dan berpaut kepada yang lain daripada nilai Islam merupakan,  kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t :

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)” 
(Surah Al An’aam: 116)

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan  ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa  mendurhakai Allah dan RasulNya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.”
(Surah Al Ahzab: 36)



Nilai Yang Tetap

Nilai Islam adalah nilai yang tetap dan tidak berubah-ubah meskipun zaman beredar dan berubah. Dalam hal ini al Allamah Abu al’Ala al Maududi telah menyatakan daalam risalahnya, Ila Ayy Syai’Yad’u al Islam, bahawa Allah s.w.t tidak semata-mata menurunkan undang-undang tertinggi (Supreme Law) melalui RasulNya, bahkan diturunkan bersama-samanya nilai yang tetap (Thabitah = Permanent Values). Sesuatu yang telah ditetapkan baik di dalam al Quran dan Sunnah Rasul itu adalah baik selama-lamanya.

Demikian juga sebaliknya, sesuatu yang ditetapkan buruk itu, maka ia tetap buruk selama-lamanya. Begitu juga yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram. Ketetapan tersebut tidak boleh dipinda, ditambah, dikurangkan atau dihapuskan. Hanya yang berani membuat pindaan dan pembatalan itu ialah golongan atau jamaah yang melepas dan membebaskan diri daripada Islam.

Hal yang sama juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh As Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya yang sangat bernilai, Khasais at Tasawwur al Islami Wa Muqawamatuha, dalam satu tajuk, Ath Thabat (Nilai Yang Tetap). Perlu diperingatkan sekiranya ketetapan Allah s.w.t itu tidak dipatuhi maka akan berlakulah kerosakan demi kerosakan di alam ini.

Firman Allah s.w.t  :

“Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (Al Quran) mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu”
(Surah Al Mu’minuun: 71)



Nilai   Allah

Islam telah ditetapkan oleh Allah s.w.t sebagai satu sistem hidup yang sempurna. Telah ditentukan bahawa penilaian yang tinggi dan keuntungan hanya diberikan kepada mereka yang beriman serta menghayati Islam dalam kehidupan mereka. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya:

“Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi  kesabaran”
(Surah Al Asr : 1 – 3)
As Syahid Sayyid Qutb ketika menghuraikan ayat ini telah menjelaskan bahawa Iman merupakan dasar hidup yang amat penting bagi membuahkan hasil yang baik dan bernilai dalam seluruh cabang hidup. Mana-mana amalan yang tidak lahir dari keimanan, maka ia tidak bernilai di sisi Allah s.w.t.  Allah s.w.t telah membuat perbandingan di dalam Firmannya :

“Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil menafaat sedikitpun dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh”
(Surah Ibrahim : 18)

“Dan orang-orang  yang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak  mendapatinya suatu apapun. Dan didapati nya (ketetapan) Allah disisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal  dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitunganNya.”
(Surah An Nur:39)
Amalan Soleh itu adalah buah Iman, Iman itu hidup dan bergerak melahirkan amalan yang soleh. Inilah Iman Islam. Iman itu bergerak, bekerja dan membangun menuju kepada matlamat Ilahi. Ia tidak semata-mata tersimpan beku di lubuk hati. Ia juga bukan semata-mata angan-angan atau sekadar niat baik sahaja tanpa diamalkan.




Model

Model Islam sebenar yang tinggi dan agung telah lahir di zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Adalah perlu sekali kita mengambil contoh teladan mereka dalam usaha kita membentuk masyarakat kini. Generasi pertama tersebut telah memiliki sifat-sifat dan ciri-ciri penting hingga melayakkan mereka menjadi ummat terbaik.

Berikut disenaraikan  beberapa ciri yang terpenting seperti yang dijelaskan oleh Al Allamah Abu al Hasan Ali al Husni an Nadawi dalam kitabnya, Maza Khasira al ‘Alam Bi Inhitat al Muslimin. Rumusan beliau ialah:-

a. Mereka berpegang teguh kepada Syariat Ilahi..Mereka sesekali tidak  mencipta undang-undang menurut hawa nafsu mereka.

b.  Mereka telah melalui proses Tarbiyyah (didikan) dan Tazkiyyah (pembersihan) jiwa dalam jangkamasa yang lama di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w hingga lahir sifat-sifat terpuji. Jawatan dan tugas disifatkan sebagai amanah dan ujian daripada Allah s.w.t , bukan kemegahan atau kebanggaan.

c.  Perkhidmamatan mereka Lillah (kerana Allah s.w.t), tidak kerana yang lain. Mereka bekerja untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah s.w.t semata-mata. Kemuliaan hanyalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

d.  Mereka membina tamaddun yang soleh meliputi kemajuan rohani, jasmani dan aqli. Semua bidang hidup dikuasai oleh nilai dan akhlak Islam, meliputi bidang pentadbiran, ekonomi, sosial dan politik.
Sehubungan dengan itu juga Prof. Muhammad Qutb, pernah menjelaskan bahawa dasar hidup mereka dibina di atas kata-kata Allah sw.t.. seperti FirmanNya:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan  mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar  (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam  ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.”
(Surah An Nur : 55)

Erti   memperhambakan diri kepada Allah s.w.t itu  menurut tafsirannya ialah tetap berjalan di atas sistem dan peraturan Allah s.w.t. Inilah manhaj yang digunapakai oleh mereka dalam semua bidang kehidupan.

Demikianlah gambaran umum mengenai masyarakat Islam yang hidup menjunjung perintah-perintah Allah s.w.t yang disifatkan oleh Allah s.w.t sebagai umat terbaik dan menjadi model untuk seluruh manusia.

Sumber : Kitab Ma za Ya’ ni Intimai Li al Islam




 

 








 


  

 

No comments:

Post a Comment